qasidah dlam bahasa jepun.......
http://hadarahalmunawarah.blogspot.com/
Jumaat, 14 Oktober 2011
Dicatat oleh safuan di Jumaat, Oktober 14, 2011 0 ulasan
Dicatat oleh safuan di Jumaat, Oktober 14, 2011 0 ulasan
molekul air zamzam...
..: MOLEKUL AIR ZAM ZAM :..
Diantara petikan ceramah oleh Ustaz Abdullah Mahmud ;
Air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia, Manusia tidak boleh hidup tanpa air, dan manusia tidak boleh hidup tanpa rahmat dari Allah.
Ustaz kemudian bercerita bahawa dia telah berkesempatan menghadiri satu seminar mengenai AIR yang berlangsung di Hotel Istana baru-baru ini yang mana kebanyakan hadirin yang hadir terdiri daripada orang bukan Islam kecuali 2 orang (Ustaz Abdullah dan seorang Pensyarah dari UM).
Penceramahnya seorang Profesor yg pakar tentang air dari Jepun. Beliau menunjukkan hasil kajiannya mengenai air, beberapa slide ditunjukkan dan dipancarkan dilayar putih kepada hadirin sekelian. Sampel-sampel air yang diambil dari berbagai sumber air (sungai, laut, perigi dan bermacam lagi).
Maka terpancarlah berbagai-bagai rupa bentuk susunan molekul-molekul air tersebut. Ada yang berupa seolah-olah seperti jin tetapi samar-samar, tidak begitu jelas (dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya)rupa yang menggerunkan dan menakutkan. Lalu Profesor itu berkata “banyak lagi sampel-sampel air yang lain tetapi rupa molekul-molekulnya hampir sama, sekarang saya nak tunjukkan sampel air yang berlainan dari sampel-sampel air yang saya tunjukkan tadi”
Profesor itu pun tunjukkan, maka terpancarkan satu rupa bentuk molekul air yang tersusun cantik berupa seolah-olah seperti berlian (bersegi-segi),bersinar-sinar dan sinarannya mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna. MasyaAllah, cantik. Lalu profesor bertanya “Siapakah di antara kamu semua yang tahu sampel air apakah ini”. Hadirin semua senyap, dan kemudian, Pensyarah dari UM mengangkat tangan dan menjawab “saya rasa itu adalah sampel air zam-zam”.
Profesor berkenaan memanggil Pensyarah tersebut naik ke atas dan bertanya “Berikan saya sebab kenapa awak berkata air itu adalah air zam-zam. “Kerana air zam-zam adalah air yang termulia didunia ini” Jawab Pensyarah. Profesor berkata “Saya tak tahu samada betul atau tidak air zam-zam itu mulia tetapi memang betul ini adalah sampel air zam-zam.”
Kemudian Professor mengatakan bahawa, kata-kata juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Lalu didalam dewan itu mereka membuat experiment bagaimanakah yang dikatakan kata-kata dapat menpengaruhi rupa bentuk molikul-molikul air. Semua hadirin dikehendaki membaca sesuatu kepada air mineral masing-masing. Lalu seorang volunteer bangun untuk menguji bagaimana rupa air yang telah dibaca. Bila ditunjukkan diskrin, nampak molikul air membentuk seolah-olah seperti tokong cina (dengan janggut yg panjang dan perut yg buncit).
Bila tiba giliran Ustaz, air yang dibaca dengan Al-Fatihah, Selawat dan Ayat Kursi maka nampaklah rupa molikul air seperti berlian dan berkilau-kilau…. Subhanallah. Lalu Ustaz disuruh oleh Profesor membaca sebarang ayat/kata-kata yang tidak baik…maka nampaklah diskrin molikul air berupa seperti sel-sel barah.
Subhanallah….. daripada ceramah yang Ustaz sampaikan ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya. Ini adalah kata-kata dari Ustaz Abdullah : “Jika hendak air itu merasa manis maka masukkanlah gula, jika hendak air itu berwarna maka masukkanlah pewarna dan jika hendak air itu mulia maka masukanlah ayat-ayat yang mulia kepadanya”.
Dicatat oleh safuan di Jumaat, Oktober 14, 2011 0 ulasan
shiekh fuad kamalidun almaliki...
Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki
PEPATAH Arab menyebut, “masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita.” Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia’ Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.
Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada ‘kulit ke kulit’.
Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan.
Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau.
“Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.
Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.
“Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.
“Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid,” kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya.
Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir.
Disiplin
Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara.
Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.
Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar.
Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.
Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.
“Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya,” katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.
Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.
“Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai.
“Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian,” katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.
Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.
Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat.
“Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan,” katanya.
Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.
“Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya,” ujar beliau.
Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta.
“Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat,” katanya.
Dicatat oleh safuan di Jumaat, Oktober 14, 2011 0 ulasan
saidina hamzah
SAIDINA HAMZAH R.A.: PENGHULU SYUHADA
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj_qoKY21-IRuyg1aRXz4e3_6yFY-zgJCTP6296LdRdlzf7akJmYJNZR1CC7gxlq2JwRI4tPfpTm1zfoHEnwglUlwaAOzlbsRBcGw9lRa9lp1dYddDlIU97fDwaY_TcQQXVrBKe2c5umQQ/s320/lion.jpg)
Saidina Hamzah r.a. merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW, iaitu dari sebelah bapa Baginda. Beliau Dilahirkan pada tahun 570 Masihi, di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau sangat rapat dengan Rasulullah SAW sejak kecil. Hobi beliau adalah memanah dan memburu. Beliau pernah memukul Abu Jahal yang menampar Rasulullah SAW. Beliau juga digelar 'Asadullah' yang bermaksud 'Singa Allah" kerana keberaniannya di medan perang. Juga digelar 'Sayyidus Syuhada' (penghulu orang yang mati syahid) kerana mati dalam peperangan Uhud pada tahun ke 3 Hijrah dan dimakamkan berdekatan Bukit Uhud.
Sifat Peribadi
Beliau sangat menjaga tingkah lakunya dan tidak pernah terbabit dengan adab jahiliah yang buruk seperti berjudi, berzina & berpoya-poya.
Beliau juga adalah seorang yang gagah berani. Beliau pernah menyahut cabaran melawan 2 orang tentera musyrikin dalam perang Badar. Beliau banyak membunuh musuh dalam perang Uhud dan merupakan pemegang panji-panji tentera Islam dalam beberapa peperangan. Beliau juga pernah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman pihak Quraisy.
Beliau adalah seorang yang cekal dan pantas bertindak. Beliau pernah ditugaskan sebagai Ketua Peninjau pergerakan musuh di antara Makkah dan Syam. Pernah dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai panglima perang dalam perang Badar. Beliau merupakan seorang yang bijak mengatur strategi perang dan melancarkan serangan dengan tersusun ketika perang meletus hingga memberikan kemenangan kepada pihak Muslimin.
Pengislaman
Suatu hari Abu Jahal telah menghina dan mencerca Rasulullah SAW di Bukit Safa. Pada ketika itu, Saidina Hamzah sedang berburu. Dalam perjalanannya pulang, beliau diberitahu tentang penghinaan itu oleh 2 orang wanita. Saidina Hamzah sangat marah dan mencari Abu Jahal yang sedang berbincang dengan pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul kepala Abu Jahal dengan busar panahnya hingga berlumuran darah. Kemudian beliau berkata: "Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku, silakan! Telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah dan ajaran yang dibawanya adalah benar. Demi Allah, aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu berani, halanglah aku." Inilah detik pengislaman Saidina Hamzah. Sikap beliau ini didorong oleh perasaan kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW serta kebenaran yang dibawa oleh Baginda. Pengislamannya ini menyebabkan umat Islam semakin kuat dan dihormati. Oleh itu pemimpin Quraisy mulai gentar untuk terus menindas umat Islam sesuka hati mereka.
Sumbangan Dan Pengorbanan
Antara sumbangan utama Saidina Hamzah ialah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman musuh serta penglibatan dan peranannya di dalam semua peperangan yang melibatkan kaum Muslimin. Beliau juga banyak berkorban untuk menegakkan agama Allah SWT. Selain itu, beliau juga sentiasa mengambil berat tentang persaudaraan tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Saidina Hamzah juga banyak membantu perkembangan dakwah Islam hingga dihormati oleh masyarakat luar.
Gugur Syahid
Beliau gugur sebagai syuhada semasa Perang Uhud setelah ditikam curi dengan lembing oleh seorang hamba sahaya bernama Wahsyi bin Harb yang dijanjikan pembebasan oleh pemiliknya, Jubair bin Muth'im, sekiranya dapat membunuh Saidina Hamzah. Setelah dibunuh, hati beliau telah dilapah oleh Hindun bt Utbah, isteri Abu Sufyan kerana ingin membalas dendam di atas kematian bapanya, Utbah bin Rabi'ah.
Dicatat oleh safuan di Jumaat, Oktober 14, 2011 0 ulasan
Langgan:
Catatan (Atom)